Upah jurunikah dan saksi naik di P.Pinang

Gambar hiasan


GEORGE TOWN—Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) hari ini mengesahkan kadar bayaran sagu hati bagi jurunikah dan dua orang saksi nikah di negeri itu naik bermula 1 Mac ini seperti surat yang tular sejak semalam.

 

Pengarahnya Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata bayaran sagu hati tersebut dinaikkan daripada RM120 kepada RM250 iaitu kadar baharu selepas 15 tahun.

 

"Sebelum ini sagu hati untuk jurunikah adalah RM100 manakala kedua-dua saksi pula RM10 seorang. Pada 1 Mac nanti, jurunikah akan menerima sagu hati RM150 manakala kedua-dua saksi RM50 seorang,” katanya yang dihubungi hari ini.

 

Beliau berkata kadar baharu itu berpatutan atas jasa jurunikah dan kedua-dua saksi memandangkan tugas mereka bukan mudah kerana bertanggungjawab memastikan majlis akad nikah berjalan lancar mengikut syariat ditetapkan.

 

"Tinjauan yang dijalankan JHEAIPP mendapati kadar upah saksi terlalu rendah iaitu RM10 sahaja seorang, jadi kadar baharu ini diharapkan dapat membantu mereka," katanya.

 

Sejak semalam tular satu surat menerusi media sosial memaklumkan Mesyuarat Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang bersidang pada 8 Dis lepas telah bersetuju meluluskan cadangan menaikkan bayaran sagu hati jurunikah dan dua orang saksi nikah di negeri itu daripada RM120 kepada RM250 bermula 1 Mac ini.

 

Menerusi surat itu, turut dimaklumkan perkara tersebut akan dihebah kepada pegawai dan kakitangan di semua Pejabat Agama daerah untuk tindakan bermula bulan depan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post