Tindakan tegas terhadap pelaku pembakaran terbuka - JAS

Gambar kredit FB JAS

KUALA LUMPUR—Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering ketika ini berikutan negara sedang mengalami fasa kedua Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata dalam tempoh itu, taburan hujan di seluruh negara akan mengalami pengurangan dan menyebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering di Semenanjung Malaysia.

“Sewaktu tempoh cuaca panas dan kering ini, dikhuatiri peningkatan kejadian pembakaran terbuka terutamanya di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.


Ini termasuk juga peningkatan kes dan aduan pembakaran terbuka di tapak-tapak pembuangan sampah haram, kawasan perumahan atau kejiranan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JAS menggesa supaya kewujudan tapak-tapak pembuangan sampah haram dapat dibanteras dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil untuk menangani isu pembakaran terbuka serta pencemaran udara.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 29 (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain kompaun sehingga RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e Aduan JAS di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.