Tidak sedar polis sampai, 17 lelaki termasuk warga emas dicekup sabung ayam


SIBU-  Seramai 17 lelaki termasuk warga emas diberkas disyaki menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam dalam serbuan yang dijalankan di kawasan tanah lapang, atas Bukit, Jalan Bukit Penyau di sini petang semalam.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Dr Collin Babat berkata, kesemua suspek berumur antara 19 gingga 75 tahun ditangkap sekitar jam 3 petang.

 

"Sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berdasarkan maklumat telah melakukan serbuan di kawasan tanah lapang, atas bukit, Jalan Bukit Penyau, Sibu, kerana disyaki menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam.

 

"Semasa serbuan didapati terdapat sekumpulan lelaki sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jelasnya, setelah menyedari kehadiran polis kesemua mereka bertempiaran lari untuk cuba menyelamatkan diri namun usaha gagal.

 

Selain tangkapan, tegas Dr Collin, polis turut merampas beberapa barang kes iaitu empat ekor ayam hidup, dua ekor ayam mati, tiga bilah taji ayam dan seunit penimbang elektronik.

 

"Kesemua tangkapan di tangkap di bawah Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962," ujarnya.

 

Oleh itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak sama sekali melibatkan diri dengan mana- mana kegiatan perjudian yang menyalahi undang-undang.

 

Ini kerana tegasnya, ia akan mendatangkan banyak masalah dari segi kewangan keluarga dan menimbulkan masalah sosial.

Next Post Previous Post