Seramai 663,641 kanak-kanak sudah mendaftar Pickids
KUALA LUMPUR— Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) kini meningkat kepada 663,641 setakat semalam (7 Feb), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk kanak-kanak (CITF-C) akan mengumumkan pelaksanaan program itu di peringkat sekolah.
“Pendaftaran dibuat oleh sekolah dan suntikan juga di sekolah dengan rakan-rakan,” katanya yang turut berkongsi info grafik mengenai pendaftaran PICKids setakat semalam menerusi catatan tersebut dengan pendaftaran tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 70,900 kanak-kanak.
Menurut Khairy bagi warga emas status vaksinasi akan menjadi tidak lengkap (warna putih dalam sijil digital MySejahtera) sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac.
“Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. Tingkatkan perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya dalam akaun Twitternya.
Khairy berkata sistem ujian dan isolasi COVID-19 kini sudah diautomasi secara digital dan seseorang yang mendapat keputusan positif COVID-19, perlu melapor terus di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan Arahan Pemantauan di rumah (HSO) secara digital.
“Jika tiada gejala atau gejala ringan (2A) tak perlu pergi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Kementerian Kesihatan. Pengasingan diri dan kemas kini status kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata pengasingan diri dan HSO bertujuan mengelakkan kesesakan di CAC yang perlu melakukan saringan ke atas kes-kes yang bergejala teruk sahaja.
“Jika anda bergejala atau mempunyai simptom ringan, duduk di rumah untuk pulih. Jika gejala yang dialami semakin teruk, maka dapatkan bantuan perubatan,” kata Khairy.
-- BERNAMA
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.