Sepatutnya 'Perdana Menteri' bukan 'Premier'- Voon


KUCHING: Panggilan baharu Ketua Menteri Sarawak sepatutnya 'Perdana Menteri' bukannya istilah 'Premier' seperti yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kata Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan.

Beliau menerusi laporan The Borneo Post dipetik hari ini berkata, istilah yang selayaknya adalah 'Perdana Menteri' bukan 'Premier'.

"Istilah 'Premier' dalam pindaan untuk menggantikan 'Ketua Menteri' adalah gelaran yang terlalu asing di mana-mana negara demokrasi. Istilah yang paling sesuai ialah 'Perdana Menteri'.

"Ini akan selari dengan apa yang dilakukan Singapura. Lee Kuan Yew dipanggil dengan gelaran ‘Perdana Menteri Singapura’ semasa Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia,” kata Voon dalam satu kenyataan.

Bagi memperbetulkan keadaan ini, Voon berkata kedua-dua perlembagaan persekutuan dan Sarawak harus mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai negara dan ketua negara mereka dipanggil Yang di-Pertua Negara, bukan Yang di-Pertua Negeri.

"Ini akan meletakkan Sabah dan Sarawak sebelum 1976," katanya.

Voon berkata Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Perkara 44 Perlembagaan Negeri telah membawa kepada pengakuan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bahawa Sarawak sememangnya tanah jajahan Tanah Melayu.

Beliau berkata ini menunjukkan analisis ramai dalam kalangan ahli politik dan peguam bahawa Sarawak adalah tanah jajahan Malaya tidak perlu diragui lagi.

"Dengan merujuk ‘Persekutuan’, sebagai Persekutuan yang mula-mula ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, ia jelas merujuk kepada Tanah Melayu. Pindaan itu merujuk kepada pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963.”

Di bawah Perjanjian Malaysia 1963, Voon berkata Singapura, Sabah dan Sarawak bersekutu dengan Persekutuan Tanah Melayu.

"Persekutuan itu dipanggil Persekutuan Malaysia dan kerajaan GPS harus sedar bahawa Persekutuan Malaysia merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu.”

Dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Voon berkata rekod yang wujud untuk menunjukkan bahawa ‘Persekutuan Malaysia’ sememangnya dirujuk sebagai ‘Persekutuan Malaya’ dan hanya terdapat pertukaran nama sahaja daripada ‘Malaya’ kepada ‘Malaysia’.

Voon berkata nasihat pertukaran nama dibuat oleh Dato Ong Yoke Lin, Setiausaha Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari Persekutuan Tanah Melayu, dalam surat yang dialamatkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 16 September 1963.

"Walaupun perkataan 'bersekutu' digunakan tetapi dalam erti kata politik, Singapura, Sabah dan Sarawak telah diambil oleh Malaya untuk membesarkan wilayah Tanah Melayu dengan satu pukulan pena dengan bantuan United Kingdom."

Dalam sebuah buku, Voon berkata ia menyatakan bahawa Singapura, Sabah dan Sarawak adalah hadiah kepada Tanah Melayu daripada British.

“Hadiah ini adalah ‘rampasan kuasa politik’ yang direka oleh (perdana menteri pertama) Tunku Abdul Rahman dengan bantuan British. Atas sebab ini, parlimen dan kebanyakan jawatan kabinet dalam kerajaan persekutuan dikuasai oleh Malaya,” kata Voon.
Next Post Previous Post