SCOOT mulakan penerbangan terus dari Singapura ke Miri pada 23 Feb


KUCHING, 5 Feb -- Syarikat penerbangan tambang murah Singapura Scoot Tigerair Pte. Ltd (Scoot) akan memulakan operasi dua kali seminggu bagi laluan terus dari republik itu ke Miri, Sarawak pada 23 Feb depan.

Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pihaknya telah menerima surat rasmi yang mengesahkan perkara itu daripada Scoot pada Khamis lepas.

Beliau berkata kaunter Scoot di lapangan terbang Miri sudah siap dan bersedia menguruskan pengembara serta penumpang bagi laluan itu.


“Penerbangan bagi laluan itu kini dibuka untuk tempahan kepada orang ramai dan pengembara boleh terus ke laman sesawang syarikat berkenaan di https://www.flyscoot.com.

“Hari operasi ialah pada setiap Rabu dan Sabtu, dengan waktu ketibaan pada 2.20 petang di Miri dan berlepas semula ke Singapura pada 3 petang hari yang sama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lee, penerbangan sulung pesawat Scoot bagi laluan Singapura-Miri sepatutnya bermula pada 19 Jan lepas namun disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia ditangguh kepada 23 Feb depan.

Beliau berkata ketika ini, Scoot mengendali penerbangan dari Singapura ke Kuching sebanyak tiga kali seminggu dan sudah tiba masanya untuk syarikat penerbangan itu beroperasi dari Singapura ke Miri serta sebaliknya kerana Miri merupakan pintu masuk ke bahagian utara Sarawak.

“Ini juga merupakan manifestasi keyakinan syarikat penerbangan itu serta perbadanan besar yang lain terhadap Sarawak terutama dari segi kemudahan yang boleh ditawarkan oleh Miri kepada pemain industri besar sebagai destinasi pelaburan pilihan khususnya bagi industri minyak dan gas di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

Next Post Previous Post