Sarawak peruntuk RM40 juta acara pelancongan, belia dan sukan
Antara acara yang dirancang menggunakan peruntukan terbabit tahun ini ialah Festival Muzik Dunia Rainforest. Gambar kredit Rainforest World Music Festival |
KUCHING-- Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukkan RM40 juta bagi mengadakan acara yang berkaitan pelancongan, belia dan sukan tahun ini, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni Sarawak berkata peruntukkan terbabit sudah disediakan sejak dua tahun lepas namun tidak digunakan berikutan pandemik COVID-19.
"Peruntukan telah dikembalikan (kepada kerajaan Sarawak) tetapi tahun ini peruntukan itu akan diberikan kembali. Itu prosedur kewangan kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Pembentangan Pelan Strategik Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak di sini hari ini.
Katanya antara acara yang dirancang menggunakan peruntukan terbabit tahun ini ialah Festival Muzik Dunia Rainforest (RWMF) yang hanya diadakan secara virtual tahun lepas namun tetap berjaya meraih tontonan ratusan ribu penonton seluruh dunia.
“Selain itu, peruntukan itu juga akan digunakan untuk penganjuran acara sukan lasak Spartan Race yang sebelum ini telah menarik ramai peserta dari negara lain,” tambahnya.
-- BERNAMA
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.