Sarawak digesa bantu pengeluar ayam dan telur

KPDNHEP mahu kerajaan Sarawak membantu pengeluar ayam dan telur di negeri ini yang terjejas berikutan kenaikan kos operasi. Gambar arkib KPDNHEP

KUCHING— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berharap Kerajaan Negeri Sarawak dapat membantu menangani isu kenaikan kos yang dihadapi pengeluar ayam dan telur di negeri itu. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Kerajaan Persekutuan telah menyediakan subsidi berjumlah RM500 juta bagi membantu industri itu menangani kenaikan kos operasi tersebut namun masih belum mencukupi. 

"Saya harap cadangan ini boleh dipertimbang oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang ternakan ayam milik syarikat CCK di Kampung Buso, Bau yang terletak kira-kira 31 kilometer dari sini hari ini.

Beliau berkata isu kenaikan kos yang dihadapi pengeluar ternakan itu perlu diselesai bagi mengelakkan rakyat Sarawak berdepan kesulitan mendapatkan bekalan ayam dan telur. 

Nanta berkata hasil pertemuan dengan pengurusan syarikat ternakan ayam telah membolehkan beliau  mendapat maklumat lebih terperinci berhubung kenaikan kos yang dihadapi mereka.

Katanya selain peningkatan harga dedak ayam, pengeluar produk ternakan itu di Sarawak berdepan masalah kekurangan pekerja yang memerlukan kaedah penyelesaian lebih terperinci dengan bantuan kerajaan negeri. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post