Samarahan termasuk Taman Samarindah antara 12 daerah di Sarawak yang masih diisytihar kawasan Rabies

KUCHING: Samarahan termasuk Taman Samarindah masih tersenarai antara 12 daerah yang diisytiharkan terkesan akibat wabak Rabies sejak ia melanda negeri ini pada 2017.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud berkata, selain Samarahan daerah lain yang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan Rabies adalah Serian, Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Selangau, Miri dan Bintulu. 

"Serian merupakan bahagian pertama diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan wabak Rabies sejak ia melanda pada 2017.

"Namun, sehingga hujung 2021, Wilayah Selatan Sarawak iaitu Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan dan Sri Aman; Wilayah Tengah-Sarikei, Sibu dan Selangau; Wilayah Utara - Miri dan Bintulu masih merekodkan kes positif Rabies selepas diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan wabak ini," katanya dalam kenyataan. 

Tegasnya lagi, usaha memerangi wabak ini dilakukan secara berterusan dengan sasaran tiada lagi anjing liar di bawah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kawasan Taman Perumahan Samarindah ini. 

Pada masa sama, Dr Adrian memberitahu, jumlah keseluruhan kes kawasan 6ang dijangkiti wabak Rabies di Sarawak kekal 72 kes (berdasarkan kawasan terakhir yang diisytiharkan pada 14 Julai 2021).

Jelasnya, bagi 2022, vaksinasi Rabies dijalankan di seluruh Sarawak secara aktif bagi meningkatkan tahap vaksinasi anjing di negeri ini. 

"Segala program terkini yang dijalankan JPVS akan diumumkan kepada orang ramai. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi laman Facebook rasmi DVS Sarawak, Sarawak Disaster Information dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)," tambahnya. 

Mengenai statistik anjing yang telah divaksin, Dr Adrian berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Disember 2021, sebanyak 12,835 anjing telah menerima suntikan Rabies. 

Katanya, jumlah itu kurang berbanding tahun sebelumnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk memberi 50,000 anjing diberi suntikan vaksin Rabies," ujarnya. 

Tentang pemilik anjing peliharaan yang cuai, tegasnya, mereka boleh dikenakan kompaun RM1, 000 di bawah Seksyen 37 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran. 

Tamat
Next Post Previous Post