Program Ujian Kemahiran Menembak Erat Hubungan APMM Bintulu dan Agensi Tempatan

PENGHARGAAN: Pengarah Zon Maritim
Zon Maritim Bintulu, Mohd Khairol (tengah) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dalam program ujian kemahiran menembak di lapang sasar IPD Bintulu, hari ini

BINTULU: Seramai 44 wakil dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, penggiat industri termasuk pengamal media di bahagian ini menyertai program latihan menembak yang diadakan bertempat di lapang sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, program ini merupakan sebahagian dari acara pengisian sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-17. 

"Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kita dari pihak APMM Bintulu kepada agensi kerajaan dan swasta tempatan, maka program ini diadakan yang mendapat penyertaan seramai 44 wakil yang kesemuanya terlibat secara langsung dengan tugas kita dalam menjaga keselamatan perairan negara," ujarmya semasa berucap dalam Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-17, hari ini. 

Secara amnya, antara agensi dan jabatan yang mengambil bahagian dalam sambutan kali ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah Bintulu,Jabatan Kastam dan Diraja Malaysia (JKDM), Peteonas, pengamal media beserta lain-lain agensi kerajaan dan swasta di Bintulu.

Dalam program menembak yang berlangsung selama dua hari itu bermula hari ini hingga esok, ianya turut disertai seramai 110 pegawai lain-lain pangkat dan kakitangan guna sama yang berkhidmat di APMM Bintulu.

Mohd Khairol berkata, apa yang paling penting melalui penganjuran program sebegini ialah bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim serta jalinan kerjasama erat antara APMM dan agensi berkaitan di bahagian ini termasuk masyarakat awam di bahagian ini.

Dalam masa sama katanya, program latihan menembak ini turut memberikan peluang kepada individu dari luar bidang kerja APMM untuk merasai sendiri pengalaman dalam mengendalikan senjata untuk menembak sekaligus dapat menjadi pengalaman berguna buat mereka.

APMM Bintulu dalam masa sama katanya sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999.

Mereka juga boleh menghubungi terus talian Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
Next Post Previous Post