Polis nafi tak siasat kemalangan babit anak bekas Pengarah SB


KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kes kemalangan jalan raya di Serdang, Selangor pada 1 Feb lepas yang melibatkan anak bekas Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman kini masih dalam siasatan polis, kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan.


Kenyataan yang dikeluarkan Anbalagan itu sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial, Twitter bahawa kes itu telah diarah tutup.

Anbalagan berkata semua langkah-langkah perlu dalam prosedur siasatan telah dilaksanakan sepenuhnya dan hasil ujian urin yang dijalankan adalah negatif manakala keputusan ujian toksikologi sampel darah belum diperoleh dari Jabatan Kimia.

“Kuasa untuk menutup mana-mana siasatan bukanlah terletak di bawah bidang kuasa polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemalangan pada 1 Feb itu melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menyebabkan kematian seorang lelaki penunggang motosikal.

Semalam, tular satu ciapan di Edisi Khas yang mendakwa anak kepada seorang bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman berada di bawah pengaruh alkohol dan terlibat dalam kemalangan tersebut, namun kes yang sedang disiasat itu dikatakan telah diarahkan tutup.

Anbalagan menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai tohmahan tidak berasas seperti itu dan menegaskan polis akan menjalankan siasatan seadil-adilnya berlandaskan peruntukan undang-undang.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post