PBB Bukit Sari selaras bantuan elak penipuan

(dari kiri) Sebi Abang dan Awangku Jinal Abedin.

LAWAS— Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Sari akan menyelaras bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Seberang Kedai untuk mengelakkan penipuan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Limbang (JBBL) Sebi Abang berkata, semua bentuk sumbangan akan diselaraskan oleh pusat khidmat itu bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mangsa.

“JBBL mengesahkan Pusat Khidmat PBB Bukit Sari sebagai saluran tepat untuk mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan di atas kesusahan keluarga mangsa.”

“Justeru, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung dengan pihak PBB Bukit Sari,” katanya.

Sebi yang juga Residen Bahagian Limbang Sebi Abang berkata kepada media di sini semalam, mengulas tragedi kebakaran yang meragut tiga beradik di sini pada malam Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari Kaunselor Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk membantu keluarga mangsa bagi meringankan musibah yang dihadapi.

“Sebaik sahaja mengetahui musibah itu, jentera parti telah digerakkan untuk membantu keluarga mangsa dalam segala aspek termasuk mengurus jenazah tiga beradik yang terkorban.”

“Saya juga sudah meminta semua sayap parti PBB Bukit memberikan bantuan mengikut keupayaan masing-masing bagi membantu keluarga dan agensi kerajaan,” katanya yang turut menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti PBB Sarawak turut menyampaikan salam takziah daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Henry Sum Agong.

"Kita dimaklumkan kedua-dua pemimpin ini akan melawat keluarga mangsa dalam masa terdekat. Pada masa yang sama kedua-duanya sentiasa berhubung untuk memastikan segala keperluan keluarga mangsa disegerakan.”

"Kita sentiasa bekerja rapat dengan semua jabatan dan agensi, cuma kita memohon kepada masyarakat untuk menghormati keluarga mangsa agar berhemah dalam menyebarkan berita di media sosial,” katanya.

Tambah beliau, parti sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam membantu rakyat yang dalam kesusahan khususnya kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa.

Difahamkan jenazah tiga beradik yang rentung akan dikebumikan segera sebaik segala urusan dengan pihak berwajib selesai.
Next Post Previous Post