NAFAS meterai Mou bernilai RM100 Juta di Dubai

Entri (kiri) bertukar dokumen dengan Shahab (kanan) pada majlis MoU antara Nafas dan ARJ Holding yang diadakan di Dubai, baru-baru ini. Gambar kredit FB NAFAS

KUALA LUMPUR— Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta bersama ARJ Holding L.L.C (ARJ Holding), iaitu antara syarikat terbesar berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Nafas dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU ditandatangani minggu lepas itu bertujuan bagi mengadakan usaha sama dalam bisnes ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos daripada bahan biomass.

Ahli Jemaah Pengarah Nafas Datuk Sylvester Entri Muran berkata kerjasama itu antara lain dapat menjalinkan hubungan perniagaan bagi memacu pertanian lestari antara dua negara dan juga titik permulaannya ‘peluang perniagaan’ secara besar-besaran melalui teknologi terkini.

“Nafas percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama ARJ Holding dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata Nafas dan ARJ Holding akan menyediakan pengaturan terperinci dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi pelaburan dan pelaksanaan aktiviti pelaburan selepas pemeteraian MoU itu.

-Entri berkata kedua-dua syarikat akan berusaha membantu dan menyokong satu sama lain untuk skop kerjasama MoU tersebut yang akan memberi manfaat bersama pihak terlibat serta kerajaan Malaysia dan UAE.

“Nafas akan berusaha mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang menguntungkan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai itu disempurnakan Entri mewakili Nafas, manakala ARJ Holding oleh Presiden Kumpulannya, Shahab Ahmed Ramadhan Juma yang turut disaksikan Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Nafas Mohammad Bahrin Abd Karim.

Turut hadir Kaunselor Pejabat Perwakilan Pertanian (Dubai UAE) Mohd Zahirul Naqi Shoaib, Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan Baharozaman Mohid dan Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi Mohammad Fauzie Tamin.

Menurut kenyataan itu, majlis pemeteraian MoU berkenaan diadakan bersempena minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai, dan ia merupakan satu inisiatif penting yang akan memacu serta meningkatkan peluang pelaburan selain kerjasama dalam pertanian lestari.

Pelbagai program menarik dianjurkan Nafas pada minggu berkenaan antaranya sesi pocket talk, business matching, sesi pengenalan produk Peladang serta demo masakan oleh Chef Rene.

Perwakilan Nafas berada di Dubai sempena Ekspo 2020 Dubai dari 20 hingga 26 Feb di Pavilion Malaysia yang dihoskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post