Lebih 1,600 hilang tempat tinggal rumah atas air terbakar

Gambar kredit FB Balai Bomba Kudat Sabah

KOTA KINABALU-- Lebih 1,600 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas 179 rumah atas air di Kampung Landung Ayang, Kudat musnah dalam kebakaran, semalam.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada 4.26 petang itu.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan  seramai 48 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Kota Marudu dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS).

Video kredit FB Masdin Angler

“Apabila tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 400 kaki sumber air dari jentera dan pili bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.43 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.17 malam,” menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).


Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan berkata susulan kejadian ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Bencana Kebakaran telah diaktifkan di Dewan Tun Mustapha, Kudat.

“Dianggarkan 200 keluarga dengan lebih 1,600 mangsa dipindahkan ke PPS berkenaan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.