KeTSA tarik potensi pelaburan RM5.8b

Delegasi KeTSA dan syarikat melawat pavilion Dubai Electricity and Water Authority (DEWA) sempena Ekspo 2020 Dubai, baru-baru ini-Gambar kredit Facebook Yayasan Hijau Malaysia


KUALA LUMPUR, 6 Feb -- Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berjaya menarik potensi pelaburan dengan anggaran nilai RM5.8 bilion menerusi minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai di Emiriyah Arab Bersatu yang berlangsung dari 30 Jan hingga semalam.

 

KeTSA dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, potensi pelaburan bernilai RM4.22 bilion adalah menerusi dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat Gading Kencana Sdn Bhd dan syarikat March Global LLC dari Arab Saudi.

 

"MoU ini adalah untuk pembangunan projek solar berskala besar di Timur Tengah, Afrika dan rantau Asia yang dijangka akan menjana pelaburan bernilai RM4.2 bilion. 

 

"Manakala MoU antara syarikat Concord Renewable Energy Sdn Bhd dengan Innio Jenbacher GMBH & CO OG dari Jerman akan membekalkan teknologi serta peralatan bagi pembangunan penjanaan loji jana kuasa biogas dijangka melibatkan pelaburan bernilai RM20 juta," menurutnya.

 

Selain itu, sebanyak RM1.6 bilion diperolehi melalui 57 sesi padanan perniagaan antara syarikat tempatan yang menyertai delegasi KeTSA dengan syarikat asing yang turut menghadiri ekspo tersebut.

 

Minggu ke-18 ekspo itu juga menyaksikan Concord Renewable Energy Sdn Bhd melancarkan Concord Biogas Cube Scrubber System yang merupakan produk bagi penjanaan tenaga daripada sumber biogas yang direka serta dihasilkan melalui inisiatif penyelidikan dan pembangunan syarikat itu, berpotensi untuk diperluaskan ke negara-negara lain. 

 

Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai bertemakan ‘Tenaga Lestari dan Sumber Semula Jadi’ turut disertai 13 lagi syarikat tempatan daripada bidang tenaga dan sumber asli. 

-- BERNAMA 

Next Post Previous Post