Kes penemuan mayat di Paroh Suai dipercayai dibunuh, wanita dan enam lelaki ditangkap


NIAH—Mayat seorang lelaki tempatan yang dijumpai di sebuah ladang di Paroh Suai, Niah dipercayai meninggal dunia akibat dari kesan tembakan disiasat sebagai kes bunuh.

 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, berikutan penemuan mayat lelaki pada 23 Februari lalu sekitar jam 10.45 pagi oleh orang awam, seorang wanita dan enam lelaki tempatan ditangkap untuk membantu siasatan.

 

"Polis mengesahkan telah menerima satu panggilan dari orang awam yang memaklumkan terdapat satu mayat telah dijumpai di sebuah ladang di Paroh Suai, Niah.

 

"Sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemukan mayat seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai meninggal dunia akibat dari kesan tembakan," katanya dalam kenyataan hari ini.



Susulan dari kejadian tersebut, Hakemal berkata, BSJD  Miri telah menahan seorang wanita dan enam orang lelaki warganegara Malaysia untuk membantu siasatan.

 

"Berikutan tangkapan tersebut juga, polis turut menjumpai senjata api serta kelonsong peluru yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut," jelasnya.

 

Tegasnya, kes ini diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

"Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.

 

"Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Joyce Sagai di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan," ujarnya.

Next Post Previous Post