Kereta Bertembung, Tiga Alami Kecederaan

Keadaan dua buah kereta yang bertembung di Jalan Kebun Lama di Simpang Ngu Batu Niah.

MIRI: Dua lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dari arah bertentangan di Jalan Kebun Lama di Simpang Ngu Batu Niah di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie mengesahkan, sepasukan anggota bomba bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8 malam.


"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat dua buah kereta jenis Proton Saga dan Perodua Axia yang bertembung di laluan berkenaan," jelas beliau.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit dalam kereta yang dinaiki itu.


Maklumat awal yang diterima mendapati kereta Proton Saga dinaiki seorang lelaki (pemandu) dan seorang penumpang wanita, manakala kereta Perodua Axia dipandu oleh seorang lelaki.

Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Unit Ambulans Batu Niah untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post