Kantoi memiliki dadah dan senapang buatan sendiri

Rampasan dadah dan senapang buatan sendiri bersama peluru.

LAWAS-- Op Tapis dan Op Bersepadu yang dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas di sebuah rumah di Jalan Merapok Kampung Masjid Baru Merapok, Lawas malam tadi bukan hanya menemukan dadah bahkan membawa kepada penemuan dua laras senapang buatan sendiri dan 18 butir peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Kadong berkata,dalam serbuan jam 12.10 tengah malam itu seorang lelaki cuba untuk melarikan diri namun berjaya diberkas oleh anggota polis. 


“Hasil pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek, anggota polis menjumpai satu bekas kecil plastik yang di dalamnya terdapat tiga keratan tiub straw berwarna hijau dan satu keratan tiub straw berwarna kuning yang masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu (Methamphetamine).

"Jumlah anggaran berat kasar barang rampasan jenis syabu tersebut adalah 1.7 gram dan suspek ditangkap dibawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 turut didapati positif dadah jenis (Methamptamine),”katanya kepada media hari ini.


Sila berkata pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan turut menjumpai selaras senapang patah, selaras senapang angin dan 18 butir peluru hidup pelbagai jenama di belakang bilik pertama rumah tersebut.

Katanya suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Lawas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

"Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,”katanya lagi.
Next Post Previous Post