Insiden gaduh, Penang FC arah kemuka laporan penuh
Pihak pengurusan pasukan Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan itu akan disediakan untuk tujuan penilaian, serta membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau pun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalankan siasatan lanjut.
Menurut kenyataan tersebut, pihak pengurusan berkata tindakan salah seorang pemain pasukan Adib Raop, telah disalah erti oleh pasukan lawan sebagai tindakan provokasi.
“Penang FC mengambil maklum bahawa tindakan Adib Raop yang cuba meleraikan insiden yang berlaku telah disalah faham sebagai satu bentuk provokasi oleh pemain lawan, yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan secara fizikal tersebut.
“Tindakan agresif ini juga nampaknya telah menyebabkan beberapa pemain-pemain Penang FC hilang kawalan bagi membalas balik tindakan fizikal tersebut,” kata Pihak Pengurusan Penang FC menerusi kiriman Facebook petang tadi.
Tambahnya, Adib bakal menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetic (MRI) setelah mengalami kecederaan di hidungnya, serta berharap pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan.
“Para pemain Penang FC diharapkan agar lebih bersabar dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri daripada apa-apa kecederaan, yang berbangkit daripada tindakan yang kurang bijaksana daripada mana-mana pihak,” katanya.
Pihak pengurusan Penang FC menegaskan bahawa, mereka perlu membuat pendirian yang tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan, oleh kerana itu mereka memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Penang FC memohon maaf di atas keputusan berat yang perlu dibuat pada malam tadi demi keselamatan semua pemain. Kepada pihak pasukan tuan rumah, diucapkan tahniah di atas kejuaraan yang diperoleh dan terima kasih kepada pihak Terengganu FC, selaku pihak penganjur yang telah menjayakan kejohanan ini dengan baik sekali,” katanya.
-- BERNAMA
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.