Guru patah tangan, kereta berpusing sejauh 58 meter


SARATOK: Seorang guru wanita patah tangan kanan selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pikap di Kilometer 42, Jalan Betong Sarikei, selepas simpang Roban petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 1.50 petang melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dipandu guru, 33 tahun dan sebuah pikap dipandu seorang lelaki, 39 tahun yang berkerja di sebuah syarikat perunding kejuruteraan di sini. 


"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu guru wanita terbabit yang datang dari arah Saratok menuju ke arah Sarikei sampai di tempat kejadian, pikap yang dipandu oleh lelaki tersebut telah keluar dari simpang 'P-turn' ke kanan menyebabkan mangsa cuba mengelak ke kanan jalan namun dilanggar oleh pikap tersebut di bahagian tepi sebelah kiri menyebabkan kereta mangsa berputar ke hadapan sejauh lebih kurang 58 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson memberitahu, akibat kemalangan tersebut guru wanita terbabit cedera parah iaitu patah tangan sebelah kanan.

Manakala tambahnya, pemandu pikap tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 .

Tambahnya, polis turut menahan kenderaan terlibat untuk pemeriksaan pihak PUSPAKOM Sarikei.
Next Post Previous Post