Bahana Beli Set Cadar Tilam Secara Talian , Wanita Kerugian RM78, 730

Mugshot: Superintendan Zulkipli Suhaili

BINTULU: Gara-gara terpengaruh dengan harga murah yang ditawarkan dalam satu laman sosial Facebook jualan perabot, seorang wanita di sini kerugian RM78, 730 melalui pembelian secara Fail Android Package Kit (APK), kata Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili.

Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang penjawat awam berusia 40-an itu pada mulanya ternampak satu iklan jualan perabot di Facebook pada 12 Februari lalu.

"Beliau yang tertarik dengan harga set cadar tilam yang diiklankan segera menghubungi talian yang dinyatakan sebelum beliau diminta memuat naik aplikasi APK," jelasnya.

Wanita berkenaan katanya yang tertarik dengan harga ditawarkan kemudiannya membuat pendaftaran dengan memasukkan butiran akaun bank peribadi miliknya dalam aplikasi terbabit bagi melakukan pembayaran harga barangan yang ditempah.

Menurutnya, semasa pendaftaran dilakukan, mangsa mendapati urusan pendaftaran tidak berjaya yang mana beliau diarah oleh individu yang dihubunginya merujuk kepada individu lain yang kononnya teknikal mereka.

Pada 15 Februari ujarnya, mangsa melakukan pemeriksaan terhadap akaun bank peribadinya dan alangkah terkejutnya apabila mendapati ada transaksi pengeluaran duit dari akaun.

"Menyedari yang dirinya menjadi mangsa penipuan urusan pembelian secara dalam talian, maka mangsa bertindak membuat laporan polis pada Selasa seterusnya menjalankan siasatan terhadap kes terbabit," jelas Zulkipli.
Next Post Previous Post