Sembilan pemandu palau dicekup

BINTULU— Seramai sembilan individu dicekup kerana disyaki memandu kenderaan dalam pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan dalam Ops Mabuk di Jalan Abang Galau dan Jalan Bakery Ting bermula jam 9 malam Jumaat hingga 4.45 pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kesemua suspek ditahan selepas gagal ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat ’Screencing Device 2 (SD2) yang dibuat di lokasi.

“Mereka kemudian menjalani pemeriksaan lanjut termasuk ujian pernafasan kedua menggunakan mesin Ujian Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.”

“Menerusi pemeriksaan EBA, lima daripada mereka didapati positif. Kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sekiranya didapati bersalah boleh dihukum denda RM10,000 dan penjara.

Sementara itu, pasukan operasi turut memeriksa seramai 83 pemilik kenderaan dan mengeluarkan 45 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ops Mabuk tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bintulu bersempena sambutan Tahun Baru Cina.
Next Post Previous Post