Pili Bomba Kampung Tengah Betong diturap kontraktor jalan raya

BETONG: Tindakan pihak kontraktor pembinaan jalan menurap pili Bomba dengan tar jalan mengundang kerisauan penduduk Kampung Tengah Betong dekat sini.

Ketua Kampungnya, Abang Abdul Manaf Abang Zaini yang mengadu berhubung perkara tersebut kepada pihak berkaitan setelah mendengar permasalahan daripada penduduk kampung.
"Saya bertindak membuat laporan berhubung Pili Bomba jenis pili bawah tanah di hadapan rumah penduduk yang telah diturap oleh pihak kontraktor kepada pihak Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong

"Berpandu kepada laporan yang dibuat, pihak Bomba telah membuat lawatan ke lokasi terbabit bagi mendapat bukti dan tindakan yang perlu dilakukan.

"Dalam masa yang sama tindakan susulan akan segera dibuat bersama pihak Majlis Daerah Betong (MDB) serta pihak yang bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta kerjasama kepada semua pihak berkaitan untuk sama-sama memastikan pili bomba di kawasan Kampung Tengah Betong dapat berfungsi dengan sempurna. 

"Ini adalah demi kepentingan bersama kerana jika berlaku sebarang musibah akan menimbulkan masalah kepada pihak berkaitan," tambahnya.

Sebarang aduan mengenai kerosakan infrastruktur awam di Kampung Tengah Betong boleh disalurkan kepada Abang Abdul Manaf di talian 01164680309 atau Abang Nurjayadi Abang Kushairi di talian 013646232.

Perbuatan menutup pili Bomba adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 58, akta yang sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 


Next Post Previous Post