Penduduk selamatkan rumah panjang terbakar

SARATOK: Tindakan pantas penduduk Rumah Panjang (Rh) Ben Bali, Tapang Ujan Ulu Ibus, Mudong di sini berjaya menyelamatkan rumah panjang yang dihuni 150 orang dari musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat petang tadi. 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, insiden itu dilaporkan sekitar jam 6.21 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi. 
"Komander Operasi, PPgB Muhammad Shukur Jamaludin melaporkan apabila tiba di lokasi didapati benar terdapat kebakaran di ruang dapur bilik bernombor 23 rumah panjang tersebut. 

"Kebakaran melibatkan almari dapur dan penyambung soket. 
"Komander Operasi melaporkan api telah dipadam sepenuh oleh penduduk rumah panjang tersebut menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, bomba membuat pemantauan bagi memastikan api benar-benar padam sepenuhnya dan mengambil maklumat berkenaan kejadian tersebut. 
"Setelah keadaan benar-benar selamat, pasukan Bomba bergerak balik ke balai. Jarak dari balai terdekat ke lokasi kejadian adalah 32 kilometer," ujarnya. 
Rumah panjang tersebut mempunyai 26 pintu dan didiami 150 penghuni. 

Next Post Previous Post