Patah hidung ditumbuk lelaki 13 rekod jenayah


SIBU: Seorang penghantar makanan patah tulang hidung dipercayai ditumbuk seorang lelaki yang memiliki 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah yang berlaku pada Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Dr Collin Babat berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi pada 7 Januari lalu itu, mangsa berusia 37 tahun dikatakan sedang mengambil pesanan di sebuah kedai makan di Jalan Ramin, Sibu. 


"Motosikal mangsa tidak dapat keluar kerana terhalang oleh sebuah kereta warna putih yang dipandu oleh seorang lelaki tidak dikenali.

"Mangsa telah membunyikan hon kemudian lelaki tersebut datang terus menumbuk mangsa di muka sebanyak sekali.

"Berikutan itu, mangsa mengalami sakit di hidung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran daripada insiden itu, Dr Collin berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun, bekerja sebagai ejen minyak masak terpakai ditangkap untuk siasatan. 


Jelasnya, suspek yang mempunyai 13 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut kes itu, katanya, kejadian berlaku di tepi kedai makan semasa mangsa mahu mengambil pesanan makanan pelanggan yang mana motosikal mangsa diparkir di tepi kedai, dan terdapat sebuah lagi motosikal di belakang motorsikal mangsa.


"Apabila selesai mengambil bungkusan makanan dan mahu beredar. Motosikal mangsa tidak dapat keluar kerana tersepit dengan sebuah motorsikal di belakang dan terdapat sebuah kereta di bahagian hadapan.

"Mangsa membunyikan hon motosikalnya untuk memanggil pemilik kereta tersebut untuk mengalihkan keretanya kerana lama menunggu, mangsa semakin marah dan pergi menghentak bahagian bonet hadapan kereta itu sebanyak dua kali dengan kuat.

"Suspek iaitu pemilik kereta datang dan bertanya kepada mangsa kenapa menghentak keretanya. Mangsa masih bising-bising dan suspek terus menumbuk muka pengadu sebanyak sekali," jelasnya.

Kes masih dalam siasatan dan suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.