Lawas dan Limbang bergegar

Gempa bumi di Kalimantan Utara

BA KELALAN: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.0 pada skala Richter yang melanda Utara Kalimantan, Indonesia, jam 5.08 pagi hari ini turut mengakibatkan beberapa kawasan di tanah tinggi Ba Kelalan  merasai gegarannya. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam laman web rasmi hari ini berkata, gempa itu berlaku di 4.3° Utara dan 116.3° Timur Kalimantan Utara. 

"Gempa itu dikesan 46 kilometer (km) barat laut Sapulut, Sabah pada kedalaman 12km dan gegaran turut dirasai di Limbang dan Lawas, di Sarawak," katanya. 
 
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tujuh Limbang Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata laporan berhubung gegaran tersebut diterima pihaknya dari penduduk Long Semadoh kira-kira jam 8 pagi. 
 
Katanya pegawai pemantau diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas  Azman Ibrahim bergerak kelokasi terbabit  bersama pemandu bagi menyiasat punca gegaran jam 9 pagi hari ini. 

Kata beliau pihak Saluran Gas Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) memaklumkan tiada gangguan / malfunction pada saluran paip dan jarak dari paip SSGP ke Long Semadoh adalah lebih kurang 75 kilometer. 
 
Dalam pada itu  kawasan yang turut merasai gegaran tersebut melibatkan   Long Semadoh A, Lapangan Terbang Long Semadoh, Long Semadoh Naseb, kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Semadoh dan klinik Long Semadoh, yang terletak berhampiran Ba Kelalan di Lawas dan kampung di Puneng Trusan. 

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini
Next Post Previous Post