Azalina dimasyhur sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama)-- Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Azalina, 57, yang merupakan wanita pertama memegang jawatan itu adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming yang meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan supaya Azalina dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya mohon mencadangkan bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Azalina binti Othman Said, Ahli Parlimen Pengerang dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih,” menurut usul tersebut.
Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azalina yang merupakan anak jati Johor berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes tuntutan sivil melibatkan isu perbankan korporat dan komersial.
-- BERNAMA
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.