RM1.31 bilion dalam Belanjawan Negeri 2025 akan diguna laksana 4 pembangunan infrastruktur asas di Sarawak-Uggah
KUCHING-- Sebanyak RM1.31 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri 2025 untuk Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan untuk tahun hadapan bagi melaksanakan empat program pembangunan infrastruktur asas di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan empat program pembangunan infrastruktur asas itu adalah infrastruktur darat (RM1.01 bilion), infrastruktur sungai (RM83.30 juta), bangunan-bangunan kerajaan (RM211.59 juta) dan bangunan-bangunan awam (RM5.08 juta).
"Peruntukan yang diterima kementerian saya bagi tahun hadapan ini juga menunjukkan peningkatan iaitu 64 peratus berbanding RM799.52 juta tahun ini," katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dalam pada itu, Uggah berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan 496 projek melibatkan kos RM40.83 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Tambahnya, ia terdiri daripada 239 projek di bawah Perbelanjaan Pembangunan, 188 projek di bawah Projek Rakyat dan 69 projek di bawah Dana Alternatif.
Jelasnya lagi, projek itu terdiri daripada 298 projek jalan (RM27.17 bilion), 69 jambatan (RM5.37 bilion), 105 bangunan (RM3.54 bilion), 22 struktur sungai (RM4.40 bilion) dan dua lapangan terbang (RM350.82 juta).
"Status projek-projek berkenaan setakat ini, 203 sudah siap, 109 sedang dalam pembinaan dan 184 lagi pada peringkat prakontrak.
"Selain itu, kementerian saya menerusi JKR Sarawak juga bertanggungjawab melaksanakan 276 projek di bawah enam agensi pembangunan (IRSDA, SADA, BDDA, RADDA, MiRRDA dan GKCDA) bernilai RM3.48 bilion," katanya.
Menurut beliau projek-projek itu secara kolektif menandakan pendekatan proaktif kerajaan GPS terhadap pembangunan infrastruktur, menyasarkan kebolehcapaian dipertingkatkan, keselamatan awam, menggalakkan perhubungan luar bandar-bandar dan pertumbuhan mampan, ujarnya.
Pada masa sama beliau memberitahu kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM391.17 juta di bawah MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia) sehingga Oktober 2024 bagi pembinaan jalan sepanjang kira-kira 15,314km.
Mengenai bekas jalan balak pula, Uggah menjelaskan projek rintis bagi penyelenggaraan jalan luar bandar di kawasan Baram telah pun bermula pada Jun tahun ini.
"Peruntukan RM5 juta setahun untuk setiap zon dan setakat ini, perkembangan kewangan adalah seperti berikut; Zon 1 (merangkumi daerah kecil Bario, saerah kecil Tinjar dan daerah Telang Usan) RM4.9 juta telah dibelanjakan.
"Zon 2 (daerah Miri, daerah Beluru dan daerah Marudi), RM4.96 juta telah digunakan bagi tujuan itu) manakala Zon 3 (merentangi daerah Telang Usan dan daerah kecil Bario) RM1.53 juta telah dibelanjakan," jelasnya.
Katanya, jalan-jalan ini tidak boleh diabaikan kepentingannya, memandangkan ia berfungsi meningkatkan ketersambungan khususnya di kawasan luar bandar.
"Justeru, kita sedang mengkaji semula prestasi program rintis penyelenggaraan jalan luar bandar bagi mengoptimumkan pelaksanaan dan mempercepatkan pelaksanaan projek," ujarnya.