Recoda diiktiraf ABMS, bukti komitmen Sarawak perangi rasuah

Premier Abang Johari (kanan) menerima sijil daripada Ismawi di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

KUCHING— Kejayaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mendapat pengiktirafan pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001 membuktikan komitmen Sarawak dalam memerangi amalan rasuah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan ini dapat memberi kepercayaan kepada pelabur luar dan rakyat di negeri ini akan integriti dan perjalanan tadbir urus berprinsip agensi kerajaan. 

“Ini adalah sebahagian daripada perjalanan kita ke arah 2030 di mana kita memberi penekanan kepada persoalan penyampaian dan ketelusan.

“Sekurang-kurang dengan pencapaian hari ini, kita telah mencapai satu peringkat kejayaan dan apa yang penting adalah sistem itu sudah ada,”kata beliau.

Abang Johari yang juga Pengerusi RECODA berkata demikian semasa menerima sijil tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat. 

Selain Recoda, agensi lain yang terlibat dalam projek rintis pensijilan ABMS adalah Jabatan Premier Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Jabatan Hal Ehwal Islam Sarawak (JAIS).

Dalam pada itu, beliau turut memuji pencapaian RECODA kerana mempamerkan peranan integriti yang boleh dipercayai dalam usaha memerangi rasuah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada RECODA kerana sekurang-kurangnya sistem yang digunapakai dalam mereka mendapat pengiktirafan dari sudut usaha kita untuk memerangi rasuah,” katanya. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya.
Next Post Previous Post