Kos bahan binaan bangunan di Miri meningkat

Gambar kredit Stephen Wen


KUALA LUMPUR— Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Julai 2022 telah meningkat antara 0.3-24.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi tempoh tersebut, indeks kos binaan di Semenanjung Malaysia meningkat 5.5-18.8 peratus, Sabah (0.3-15.5 peratus) manakala Sarawak (5.6-24.4 peratus).


Gambar kredit Stephen Wen


Perbandingan bagi tempoh Julai 2021 dan Julai 2022 menunjukkan IKB dengan bar keluli meningkat bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


“Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.


“Selain itu, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak ialah cerucuk (konkrit bertetulang) di Sandakan dan Miri,” katanya dalam Penerbitan Indeks Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur Julai 2022 yang dikeluarkan hari ini.


Menurut DOSM, IKB tanpa bar keluli meningkat di antara 5.5 peratus dan 14.1 peratus untuk semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia.


Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia adalah bangunan (konkrit bertetulang) lima tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Pahang, diikuti oleh cerucuk konkrit bertetulang di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.


Selain itu, kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi 1 Tingkat (menara sahaja) di Sandakan manakala di Sarawak adalah kerangka besi satu tingkat (bangunan) di Miri, katanya.


Dalam pada itu, indeks harga seunit bahan binaan turut meningkat 5.3 peratus hingga 15.5 peratus bagi Julai 2022 berbanding setahun lepas. 


“Indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli serta logam telah meningkat masing-masing 15.8 peratus dan 13.5 peratus bagi tempoh tersebut,” katanya.


Menurut DOSM, perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi besi untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali di Miri (1.3 peratus) dan Sibu (1.4 peratus).


Penurunan indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam antara 0.2 peratus hingga 3.4 peratus bagi semua kawasan kecuali bagi Pahang, Kota Kinabalu dan Sibu.


“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar jenis mycon 60 ‘high tensile deformed’ meningkat 12.9 peratus dengan harga purata RM3,879.48 bagi setiap tan berbanding tahun sebelumnya (Julai 2021: RM3,435.24 satu tan).


“Simen pula mencatatkan peningkatan sebanyak 11.7 peratus pada Julai 2022 pada RM20.99 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM18.89 bagi setiap 50 kilogram pada Julai 2021. Namun begitu, peningkatan harga bagi kedua-dua bahan ini adalah lebih perlahan berbanding pada Jun 2022,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post