-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Kerajaan tidak peluk tubuh tangani isu kos sara hidup, PM

| Julai 02, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-02T05:11:24Z

KUALA LUMPUR-- Kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menangani isu kos sara hidup, sebaliknya melaksanakan langkah jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk mendepani cabaran itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 


Beliau berkata ia termasuk pemberian subsidi kepada rakyat sebanyak RM70 bilion pada tahun ini bagi memastikan mereka tidak terbeban dengan situasi yang dihadapi dunia ketika ini. 


“Mengenai kos sara hidup, saya nak terangkan, ia bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia kerana Malaysia bukan dalam planet lain, kita saling berhubung dan mempunyai kaitan dengan negara lain.


“Contoh, ayam adalah isu paling sensitif. Kita dapatkan bahan makanan ayam dari luar negara kerana kita bukan pengeluar jagung dan kacang soya. Ini menyebabkan berlakunya peningkatan harga barang,” katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) 2022 kali ke-42 di sini hari. 


Menurut Perdana Menteri kadar inflasi negara masih dianggap rendah pada 2 peratus berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat (9 peratus), negara-negara Eropah (antara 8 hingga 10 peratus) dan United Kingdom (12 peratus).


"Inflasi (Malaysia) rendah kerana kita (kerajaan) beri subsidi untuk pastikan harga (barang) tidak naik...kalau tak ada subsidi, inflasi kita naik mungkin sampai 8 hingga 11 peratus.


"Untuk memastikan rakyat tidak terbeban, kerajaan tanggung subsidi walaupun sebenarnya ada beberapa produk tidak memerlukan subsidi," katanya.


Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri juga mencadangankan kepada MTUC untuk mewujudkan pasukan sukarelawan pengguna untuk memantau dan melaporkan isu berkaitan harga barang kepada kerajaan.


Menurutnya, usaha itu akan membantu kerajaan mendapatkan input daripada rakyat selain dapat mengurangkan gejala penyelewengan barangan subsidi.


"Kerajaan sedia mendengar cadangan membina dari semua pihak kerana kerajaan tidak tahu semua perkara dan perlukan maklum balas dari rakyat," katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update