DAP bertanya, siapa bayar RM30.5 juta untuk kontrak lampu jalan jika bukan DBKL?

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng

PETALING JAYA— Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus mempersoal tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menafikan penganugerahan kontrak bernilai RM30.75 juta kepada Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) bagi kerja-kerja penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang.


Memetik Malaysiakini, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, jawapan yang diberikan DBKL menimbulkan banyak persoalan berbanding jawapan.


“DBKL menafikan laporan media bahawa  pihaknya telah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya untuk menjalankan apa-apa kerja untuk majlis bandar raya itu.


Jadi siapakah sebenarnya yang membayar RM30.75 juta untuk kontrak 200 lampu jalan itu. Sanggupkah DBKL dan Suruhanjaya Sekuriti akan meminta SCIB, sebuah syarikat tersenarai awam, untuk mendapatkan penjelasan?,” katanya.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa, SCIB berkata, kontrak itu adalah untuk perkhidmatan kejuruteraan projek bagi penggantian 200 unit tiang lampu di Kuala Lumpur.


Bernama melaporkan SCIB melalui anak syarikatnya SCIB Properties Sdn Bhd telah menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd. 


Projek penggantian tiang lampu pintar DBKL dijangka akan bermula bulan ini dan selesai pada Mei 2023. 


Isu ini tercetus selepas DBKL memaklumkan tidak pernah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya bagi kerja berkenaan.


Menurut DBKL, pembinaan tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G.


Dalam kenyataan terdahulu, Lim meminta DBKL menjelaskan secara terperinci kontrak bernilai RM30.75 juta yang disifatkan terlalu mahal sehingga 

menimbulkan banyak persoalan kepada orang awam.


“Orang ramai tertanya-tanya, adakah kontrak bernilai RM30.75 juta itu semata-mata hanya untuk membina 200 tiang lampu?


“Adakah ini bermaksud pembinaan satu tiang lampu perlu menelan kos bernilai sebanyak RM153,750?, katanya dalam hantaran di Facebook kelmarin.


Beliau juga meminta DBKL menjelaskan sama ada kontrak tersebut diberikan melalui tender terbuka.


“Mengapa kontrak itu perlu diberikan melalui Ennova Sdn Bhd dan bukannya terus daripada DBKL atau kerajaan?


“Tiada alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak berbelanja begitu tinggi,” katanya.

Next Post Previous Post